Guru diminta bertenang, beri ruang KPM perjelas isu polisi perlindungan murid – Fadhlina

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) meminta guru supaya bertenang dan memberi ruang kepada kementerian itu menjelaskan secara menyeluruh pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan warga pendidik.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, polisi berkenaan bertujuan melindungi semua pihak yang terlibat dan berurusan dengan murid, termasuk guru serta seluruh warga sekolah.

“Saya memahami kegusaran yang disuarakan oleh guru-guru berhubung Polisi Perlindungan Murid Sekolah.

“Buat masa ini, saya memohon agar semua guru bertenang dan memberi ruang kepada KPM untuk menerangkan perkara ini secara menyeluruh,” katanya hari ini.

Beliau berkata, polisi berkenaan turut menyediakan panduan terperinci mengenai tanggungjawab semua pihak serta tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku sesuatu insiden di sekolah.

Sehubungan itu, Fadhlina berkata, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan Penasihat Undang-Undang KPM sudah diminta mengadakan sesi khas bersama pemegang taruh bagi menjawab serta meneliti setiap kebimbangan yang disuarakan guru.

“KPM komited untuk memastikan setiap pelaksanaan dibuat secara teliti dan bertanggungjawab demi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat,” katanya lagi.

Pelaksanaan polisi berkenaan diumumkan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) bertarikh 1 Julai lalu yang mewajibkan warga sekolah serta pihak luar yang mempunyai urusan dengan sekolah dan warganya menandatangani Surat Aku Kepatuhan Polisi Perlindungan Murid Sekolah.

Langkah itu menjadi bukti komitmen semua pihak terhadap aspek keselamatan dan perlindungan murid.

SPI berkenaan turut menggariskan lima fokus utama reformasi pendidikan, iaitu kesihatan mental, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, keganasan seksual kanak-kanak dan pencegahan bahan terlarang; polisi perlindungan murid, serta kebajikan guru dan suara murid.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here