Ahli perniagaan didenda RM13,500, penjara sehari kerana mabuk

SEORANG ahli perniagaan didenda RM13,500 dan dipenjara sehari oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk, Sabtu lalu.

Tertuduh, Edwin Lim Teng Guo, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan, namun tertuduh menjelaskan denda tersebut.

Selain itu, mahkamah memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung selama dua tahun bermula hari ini, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dalam keadaan mabuk dengan kandungan alkohol dalam darah sebanyak 89 miligram bagi setiap 100 mililiter (mg/100ml), melebihi had ditetapkan iaitu 50 mg/100ml.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Seluang, Batu Pahat, pada jam 1.05 pagi, 8 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 dan penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis yang menjalankan penugasan Op Mabuk menahan MPV dipandu tertuduh selepas mendapati kenderaan itu dalam keadaan mencurigakan.

Pemeriksaan terhadap tertuduh kemudian mendapati terdapat bau alkohol sebelum ujian pernafasan dijalankan dengan bacaan 121 mg/100ml.

Tertuduh kemudiannya dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut sebelum ujian pernafasan sekali lagi dijalankan di Balai Polis Batu Pahat yang merekodkan bacaan 89 mg/100ml.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here