Tiada apa yang disembunyikan berhubung RCI Tabung Haji – BN

BARISAN Nasional (BN) hari ini menegaskan tiada apa yang hendak disembunyikan daripada rakyat, khususnya kepada 10 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH), berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan institusi itu.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, laporan RCI yang sudah dinyahklasifikasikan, dibentangkan secara terbuka dan dibahaskan Ahli Parlimen membuktikan proses ketelusan dilaksanakan melalui saluran institusi negara yang sah.

“Pendirian BN adalah jelas dan konsisten, tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan daripada rakyat, khususnya kepada 10 juta pendeposit Tabung Haji.

“RCI ialah mekanisme yang diwujudkan di bawah undang-undang negara untuk menyiasat isu berkepentingan awam. Laporan tersebut perlu diteliti secara objektif, berasaskan fakta dan bukti, bukannya dijadikan bahan penghukuman politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, BN berpandangan penelitian terhadap tadbir urus TH wajar diperluaskan kerana RCI berkenaan hanya memfokuskan tempoh 2014 hingga 2020.

Katanya, penelitian menyeluruh perlu turut merangkumi perkembangan dan keputusan selepas 2020, termasuk peranan Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) sejak penubuhannya hingga kini.

“Perbahasan juga turut mengesahkan bahawa RCI ini memfokuskan pada tempoh 2014 hingga 2020 sahaja.

“Oleh itu, adalah wajar kajian menyeluruh mengenai keseluruhan sejarah tadbir urus Tabung Haji dengan turut membuat penelitian terhadap tempoh-tempoh lain, termasuk perkembangan dan keputusan selepas tahun 2020,” katanya.

Zambry berkata, dapatan RCI yang menyentuh isu tadbir urus, struktur kuasa, pemisahan fungsi dan mekanisme semak imbang perlu dijadikan asas untuk memperkukuh institusi TH, bukannya mencari keuntungan politik jangka pendek.

Menurutnya, BN turut menyambut baik usaha penambahbaikan yang sudah dilaksanakan, termasuk pelaksanaan syor RCI, dan berpandangan transformasi institusi itu perlu diteruskan secara konsisten.

Pada masa sama, Zambry menegaskan kepentingan pendeposit perlu mengatasi kepentingan politik kerana TH bukan sekadar entiti kewangan, sebaliknya institusi umat Islam yang mempunyai amanah besar dalam pengurusan simpanan, pelaburan dan urusan ibadah haji.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak mengelakkan tuduhan melulu, penghakiman politik sebelum proses perundangan selesai serta naratif yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit tanpa asas yang bertanggungjawab.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here