Kerajaan cadang perluas SARA untuk pembelian buah, sayur

KERAJAAN bercadang memperluaskan skop Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi membolehkan penerimanya membeli makanan berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan sumber protein segar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) berkata, cadangan itu dipersetujui dalam Mesyuarat NACCOL Kali Ke-18 untuk diangkat bagi pertimbangan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri.

“Langkah ini penting supaya bantuan kerajaan bukan sahaja membantu kuasa beli rakyat, tetapi turut mendorong akses kepada pemakanan yang lebih sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, mesyuarat turut meneliti secara mendalam hala tuju Beras Putih Tempatan (BPT) bagi memastikan kepentingan pengguna dan kelangsungan industri padi serta beras tempatan dapat diseimbangkan.

Tambahnya, antara perkara yang diberi perhatian adalah cadangan mekanisme peralihan melalui program beras bersubsidi bagi memastikan kumpulan rentan terus dilindungi sebelum sebarang perubahan dasar dilaksanakan secara menyeluruh.

Dalam menangani kos sara hidup, kerajaan katanya turut mengambil kira tekanan terhadap harga dan bekalan makanan, kos kesihatan, tekanan kos sektor perniagaan dan agromakanan serta perlindungan sosial rakyat.

“Perkembangan geopolitik termasuk ketidaktentuan di Asia Barat, kos pematuhan import serta kesan penyasaran subsidi terhadap kos pengeluaran makanan perlu terus dipantau supaya ia tidak diterjemahkan kepada kenaikan harga yang membebankan pengguna.

“Agensi berkaitan telah diminta terus memperhalusi mekanisme sedia ada termasuk bantuan bersasar kepada petani, nelayan dan kumpulan yang terkesan,” katanya.

Sementara itu, dalam aspek kesihatan, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat turut mengambil maklum kemajuan 11 inisiatif RESET yang sedang dilaksanakan bagi membantu menangani kos penjagaan kesihatan swasta, memperluas akses serta memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Usaha itu merupakan sebahagian pendekatan menyeluruh kerajaan di bawah Pelan Tindakan Kos Sara Hidup 2030 bagi menangani tekanan kos kehidupan merentas sektor.

Kerajaan juga kekal komited memastikan kos pendidikan tidak menjadi penghalang kepada pembangunan modal insan.

Berdasarkan pemetaan 13 program bantuan pendidikan tertiari, seramai 62,937 pelajar Tingkatan Enam dan universiti menerima bantuan pada 2025 dengan nilai keseluruhan RM589.6 juta.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here