ENAM anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditemukan selamat hari ini selepas terapung di perairan Laut China Selatan, dipercayai tersasar dari posisi pendaratan semasa latihan penerjunan bebas.
TLDM dalam perkongsian di Facebook berkata, penerjunan yang tersasar itu berpunca daripada faktor perubahan cuaca secara tiba-tiba sehingga menjejaskan jarak penglihatan.

Menurutnya, ini membuktikan keberkesanan latihan berterusan dan realistik Paskal dalam mempersiapkan anggota menghadapi situasi luar jangka.
“Selain kemahiran tempur, latihan intensif ini terbukti memupuk ketahanan diri yang tinggi, disiplin, serta keupayaan ikhtiar hidup (survival) dalam situasi ekstrem selaras dengan slogan ‘Sentiasa Yang Terbaik’,” kata kenyataan TLDM.
TLDM menegaskan komitmen berterusan untuk mengimbangi aspek kesiapsiagaan tempur dan keselamatan anggota demi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terjamin.
Terdahulu, media melaporkan, sekumpulan anggota TLDM dipercayai terbabit dalam satu insiden selepas menjalani latihan payung terjun di Laut China Selatan semalam.





