Kes godam MyIMMs: JIM senarai hitam pemegang PLKS tidak sah

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menyenarai hitam semua pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang diluluskan secara tidak sah melalui sindiket penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan itu diambil susulan operasi dan serbuan pihaknya bagi mengesan pemegang PLKS tidak sah yang terlibat.

Beliau berkata, hasil beberapa serbuan mendapati, alamat premis serta maklumat majikan yang digunakan berbeza daripada maklumat dalam PLKS, malah ada yang menggunakan alamat palsu.

“Kita telah senarai hitam dalam sistem Imigresen, di mana mereka tidak lagi boleh melakukan sebarang transaksi, sama ada untuk pembaharuan ataupun nak tukar alamat dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat JIM di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.

Mengulas lanjut Zakaria berkata, pemegang PLKS terbabit tidak lagi boleh melakukan sebarang transaksi secara dalam talian dan perlu merujuk kepada kaunter JIM bagi urusan berkaitan.

Beliau memberitahu, setakat ini seramai 14 pegawai Imigresen ditahan bagi membantu siasatan berhubung sindiket terbabit, termasuk enam tangkapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lima lagi dalam tangkapan berikutnya dan tiga pegawai yang ditahan dalam perkembangan terbaharu.

Katanya, JIM akan meneruskan siasatan dan operasi bagi mengenal pasti serta mengesan pemegang PLKS tidak sah terbabit.

Media sebelum ini melaporkan Op Crack dilaksanakan SPRM dengan kerjasama JIM bermula 28 Julai, dengan membuat tangkapan lebih 10 individu membabitkan pengarah syarikat, warga asing, pegawai polis serta pegawai Imigresen.

Sebanyak 1,306 PLKS dikesan diluluskan secara tidak sah di pelbagai lokasi di seluruh negara membabitkan pelbagai sektor.

Zakaria dilaporkan berkata, terdapat penglibatan ‘orang dalam’ JIM yang mengetahui kaedah mengeksploitasi MyIMMs dalam sindiket penggodaman sistem terbabit bagi proses kelulusan PLKS secara tidak sah.

Individu terbabit menggunakan peranti ‘dongle’ serta perisian yang dimasukkan ke dalam komputer sebelum sistem terbabit diakses dari luar menggunakan ID (nama pengguna) pentadbir untuk mendaftar masuk sebelum mencipta ID palsu bagi meluluskan semua PLKS secara tidak teratur.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here