Imigresen tumpas sindiket kenderaan curi didalangi warga Pakistan

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket yang dipercayai menjalankan kegiatan melerai dan menjual komponen kenderaan lusuh serta curi dalam serbuan di Jalan Kapar, Klang semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi pada jam 4.30 petang itu digerakkan susulan maklumat diterima dan membabitkan 24 pegawai JIM.

Katanya, seramai 20 warga asing ditahan terdiri daripada 17 lelaki warganegara Pakistan serta dua lelaki dan seorang wanita warganegara Indonesia.

“Siasatan awal mendapati, sindiket tersebut dipercayai turut terlibat dalam kes kehilangan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik sebuah syarikat pengurusan jenazah di Kapar, Klang baru–baru ini.

“Penahanan warganegara Indonesia tersebut membawa kepada keterlibatan sindiket ini dalam pengurusan penyediaan ‘rumah penampungan’ bagi PATI yang menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal dengan bayaran yang dikenakan sebanyak RM5,000 ke RM10,000 seorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Zakaria berkata, JIM memandang serius penglibatan warga asing dalam kegiatan jenayah terancang, khususnya membabitkan kenderaan curi, penjualan komponen kenderaan dan penyeludupan migran.

“JIM menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat melindungi, menggaji atau bersubahat dengan warga asing tanpa dokumen sah.

“Jabatan juga komited mempertingkatkan operasi penguatkuasaan di seluruh negara bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here