BEKAS Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming memberi tiga sebab yang mungkin mendorong perwakilan DAP memilih untuk kekal dalam Jemaah Menteri pada kongres khas hujung minggu ini, antaranya bagi memastikan Belanjawan 2027 dapat diluluskan pada Oktober.
Bekas Ahli Parlimen Bangi itu berkata DAP juga dapat membantu memastikan kestabilan dasar ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi akibat dasar Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, khususnya berkaitan perkembangan di Asia Barat.
“Dan sebab ketiga, adalah mengelakkan beri peluang kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNOuntuk menarik sokongan terhadap Jemaah Menteri dan kerajaan hingga mencetuskan PRU lebih awal,” katanya di Facebook.
Kian Ming berkata,, satu-satunya alasan untuk perwakilan mengundi supaya pemimpin DAP meletakkan jawatan dalam Jemaah Menteri adalah bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melaksanakan sekurang-kurangnya sebahagian daripada reformasi politik sebelum PRU akan datang.
Beliau berkata perwakilan DAP dan penyokong Pakatan Harapan (PH) perlu sedar bahawa Anwar akan memberi reaksi dan bertindak apabila menerima tekanan daripada individu, kumpulan, organisasi atau keadaan politik tertentu.
Menurut Kian Ming, inilah sebabnya Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook memanggil kongres khas tersebut — untuk mengingatkan Anwar bahawa perwakilan DAP mempunyai kuasa memaksa pemimpin parti meletak jawatan daripada Jemaah Menteri.
Beliau berkata apa jua ucapan yang disampaikan perwakilan atau tuntutan yang dibuat pemimpin DAP di kongres khas mahupun melalui media sosial, pengaruh DAP terhadap Anwar akan hilang sebaik sahaja majoriti perwakilan mengundi untuk kekal dalam Jemaah Menteri.
Bagaimanapun, beliau menyatakan harapan agar perwakilan mengundi untuk keluar daripada kerajaan.
Jika perwakilan memilih untuk keluar, Kian Mingberkata pemimpin DAP masih boleh menentukan masa yang sesuai untuk anggota Jemaah Menteri daripada parti itu meletakkan jawatan.
Katanya, mereka boleh mencapai persetujuan dengan Anwar supaya peletakan jawatan hanya dilakukan selepas Belanjawan 2027 diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Disember 2026.
Tambahnya, DAP juga boleh berunding dengan Anwar untuk meluluskan beberapa perubahan perundangan penting dalam persidangan Parlimen semasa, termasuk had tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun dan undang-undang yang memastikan peruntukan kawasan Parlimen yang sama rata kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
“Langkah ini mungkin tidak mencukupi untuk memastikan PH dan DAP kekal dalam kerajaan bagi penggal kedua selepas PRU16, tetapi sekurang-kurangnya DAP boleh mengatakan bahawa parti itu sanggup meninggalkan kerajaan atas dasar prinsip, bukannya untuk melindungi kepentingan sendiri,” katanya.
Pada Ahad ini, 4,264 perwakilan DAP akan menentukan sama ada parti itu perlu kekal dalam kerajaan atau menarik diri daripada jawatan kerajaan bagi baki tempoh Parlimen.
DAP Perak semalam sebulat suara menyokong keputusan untuk kekal dalam kerajaan perpaduan bagi membolehkan kerajaan melaksanakan janji pilihan rayanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yakin DAP akan mengutamakan kepentingan negara dan kestabilan kerajaan.
“Saya percaya kepemimpinan DAP mempunyai kebijaksanaannya sebagai parti yang sudah lama di negara ini. DAP tentunya akan meletakkan kepentingan negara dari segi kestabilan politik, selain mempertahan dan meneruskan kesinambungan yang sudah berjalan sangat baik ketika ini,” katanya lapor Berita Harian.





