Kembalikan had subsidi petrol Budi MADANI RON95 300 liter sebulan – AMK

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) mahu had kelayakan subsidi petrol Budi MADANI RON95 (BUDI95) dikembalikan kepada 300 liter sebulan, dan mencadangkan agar kadar itu dinaikkan kepada 350 liter untuk golongan berkeperluan mobiliti tinggi berdasarkan data penggunaan yang jelas.

Ketua AMK Muhammad Kamil Ahmad Munim berkata tuntutan itu dibuat selepas mengambil kira penurunan harga minyak dunia dan ruang fiskal negara yang mengizinkan kerajaan meningkatkan semula had subsidi berkenaan.

“Kita bukan meminta subsidi tanpa had, kita meminta dasar yang memahami kehidupan rakyat kerana reformasi subsidi mesti bergerak bersama dengan reformasi untuk memberi manfaat kepada rakyat.

“Jika rakyat diminta berkorban, rakyat berhak melihat dividen daripada pengorbanan itu,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Nasional AMK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh Melaka malam ini.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata pada masa sama, dasar perlindungan Bumiputera perlu ditambah baik supaya generasi seterusnya bukan sekadar menerima perlindungan tetapi juga mampu menjadi pemilik dalam bidang strategik termasuk rumah, hartanah, saham, syarikat, harta intelek dan teknologi.

“Anak Melayu mesti berada (ada kemahiran) dalam kecerdasan buatan, semikonduktor, teknologi hijau, bioteknologi, aeroangkasa, kejuruteraan dan keselamatan siber.

“Kita tidak mahu anak Melayu sekadar menjadi pengguna teknologi yang dicipta orang lain, kita mahu mereka menjadi pencipta,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here