Lelaki penjara sebulan, denda RM2,500 tunjuk kemaluan kepada warga emas

SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Seremban hari ini kerana menunjukkan kemaluan kepada seorang wanita warga emas.

Majistret Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman terhadap Muhammad Syahmi Mohad Md Jalel, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan itu terhadap seorang wanita berusia 75 tahun di Kampung Baru Mambau, di sini, pada 31 Julai lalu.

Terdahulu, peguam Zaiful Bahrin Kamde dalam rayuannya memaklumkan anak guamnya sudah berkahwin dan menanggung dua anak masing-masing berusia setahun dan empat tahun.

Katanya, tertuduh bekerja di sebuah syarikat mencuci kenderaan dengan pendapatan RM1,800 sebulan.

“Pengakuan salah tertuduh menjimatkan masa mahkamah, malah lelaki itu turut mengaku menyesal dan memohon maaf atas kesalahan dilakukan serta berjanji tidak akan mengulanginya.

“Mohon hukuman denda diberikan dan saya mencadangkan tidak melebihi RM3,000 memandangkan pendapatannya hanya RM1,800,” katanya, lapor BH.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurnadiahani Mohd Ideris memohon hukuman penjara dan denda maksimum dengan mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan tertuduh serta kesan perbuatan itu terhadap mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan selain tertuduh berdepan hukuman penjara tambahan empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan sama terhadap seorang wanita berusia 71 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi jalan Kampung Baru Mambau 1 pada 3 Ogos lalu.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM9,000 sebelum mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here