POLIS memburu dua wanita termasuk seorang yang berpurdah selepas dipercayai terbabit dalam kes kecurian seutas gelang emas bernilai kira-kira RM16,000 dari sebuah kedai emas di Batu 8, Kampung Batu Enam, Jalan Kelantan, Kuala Terengganu, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.59 pagi sebelum pihaknya menerima laporan daripada jurujual kedai emas terbabit pada jam 10.25 malam.
Menurutnya, kejadian hanya disedari pekerja kedai ketika membuat pemeriksaan stok sebelum mendapati seutas gelang emas 916 jenis padat kait dua puteri seberat 28.01 gram hilang.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua wanita berkenaan masuk ke dalam kedai sebelum seorang daripadanya meminta pekerja menunjukkan beberapa gelang emas untuk dibuat perbandingan.
“Suspek kemudian memakai salah satu gelang emas berkenaan pada tangannya sebelum menutupnya menggunakan lengan baju,” katanya.
Beliau berkata, suspek turut menjatuhkan gelang berkenaan ke lantai sebelum memijaknya, kemudian mengambil semula dan memasukkannya ke dalam beg tangan.
“Pada masa sama, suspek kedua dipercayai mengalihkan perhatian pekerja dengan menunjukkan ke arah gelang emas lain menyebabkan pekerja terbabit tidak menyedari perbuatan rakannya.
“Kedua-dua suspek kemudian keluar dari kedai dengan alasan mahu mengambil wang untuk membuat pembayaran, namun tidak kembali,” katanya.
Azli berkata, suspek pertama memakai jubah kelabu, tudung hitam dan berpurdah hitam, manakala suspek kedua memakai jubah biru gelap serta tudung biru bercorak bunga.
“Pekerja kedai boleh mengecam suspek kedua namun tidak dapat mengecam suspek pertama kerana wajahnya ditutup dengan purdah.
“Polis kini sedang giat mengesan kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, rakaman CCTV kejadian turut tular di media sosial sejak semalam, memaparkan aksi dua wanita terbabit ketika dipercayai menyembunyikan gelang emas sebelum meninggalkan premis berkenaan.





