SEORANG pelajar perempuan berusia 17 tahun dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di kediamannya di Taman Jasmin, Kajang, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.20 petang, semalam.
Menurutnya, remaja terbabit dikenali sebagai Farzanah Nabila Abdullah, 17.
“Remaja berkenaan mempunyai ketinggian kira-kira 155 sentimeter, berat 42 kilogram, berbadan kurus, berambut lurus panjang dan berkulit langsat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan laporan, Farzanah Nabila dipercayai hilang pada jam 12.20 tengah malam, 13 Ogos lalu.
Katanya, lokasi terakhir remaja terbabit adalah di alamat 940, Jalan Jasmin 28, Taman Jasmin, 43000 Kajang, Selangor.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu tersebut diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222.
“Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Amiruddin Abdul Hamid di talian 013-2304156,” katanya.
Polis meminta kerjasama orang ramai membantu mengesan remaja berkenaan bagi membolehkan dia ditemui dan kembali kepada keluarganya dengan selamat.





