‘’Kritik, jadi pembangkang  mudah…nak jadi kerajaan baik sukar’’ – Nurul Izzah

TIMBALAN Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, mengkritik dan menjadi pembangkang memang mudah tetapi menjadi kerajaan yang baik serta benar adalah sukar kerana melibatkan godaan melakukan perkara salah.

Katanya,  ada kalanya pimpinan biasa mengkritik sehingga apabila tiba giliran memerintah, mereka tidak tahu bagaimana memerintah dengan baik.

“Godaan datang berbalut kepentingan jangka pendek, alasan taktikal, berbalut bisikan bahawa sekali saja (buat salah) tak mengapa.

“Maka soalan yang perlu ditanya pada diri setiap kali godaan dan bisikan syaitan tiba, bukan mengenai kelicikan taktik, tetapi soalan lebih asas iaitu untuk siapa sebenarnya kita berjuang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Nasional Wanita & Angkatan Muda Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini.

Dalam ucapan itu juga Nurul Izzah berkata, PKR tidak mampu menjadi organisasi yang kuat jika wujud dua nakhoda dalam parti yang mengemudi satu kapal atau ada tangan ghaib membentuk struktur kuasa tersembunyi di sebalik kuasa.

Katanya,  parti juga tidak mampu kuat sebagai organisasi selagi tenaga pemimpin dan ahlinya dihabiskan untuk menghadapi pertelingkahan dalaman.

“Setiap jam (masa) yang kita gunakan untuk berlawan, bertelagah sesama sendiri, adalah jam yang tidak kita gunakan untuk memenangi hati rakyat. Jadi saya fikir fokus kita, membulatkan tekad kepada agenda merakyatkan ekonomi, bersaing dalam melakukan kebaikan,” katanya

Beliau berkata, kemenangan pada pilihan raya sebenar iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) atau pilihan raya negeri bukan tugasan mudah.

“Tidak semua kemenangan mudah kita pikul, tetapi kemenangan itu juga peluang bagi melakar, memahat dan mencipta peluang, ruang serta budaya baharu,” katanya.

Nurul Izzah berkata, pimpinan adalah cerminan rakyat dan rakyat cerminan pemimpin, justeru kepimpinan bukan soal memiliki kuasa, sebaliknya soal memelihara amanah.

“Perbezaannya kelihatan kecil, tetapi daripada perbezaan kecil ini lahir aliran politik sangat berbeza. Satu pihak mempertahankan kerusi, satu lagi mempertahankan nilai.

“Pengaruh boleh diwarisi, malah sesebuah takhta pun, mungkin boleh diwarisi, tetapi amanah tidak boleh, ia hanya boleh dipikul dan sesiapa yang bersedia menanggung tanggungjawab, beratnya dan juga implikasinya,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here