JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyita 57 kontena mengandungi besi dan plastik skrap bernilai RM4.966 juta termasuk duti dan cukai di Zon Bebas Pelabuhan Klang dalam tempoh Januari hingga Jun lalu.
Pengarah JKDM Selangor, Noraidah Ishak berkata, pemeriksaan dilakukan pihaknya dengan kerjasama National Targeting Centre (NTC) berdasarkan maklumat risikan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan 13 kontena mengandungi 351.19 tan besi skrap dan 841.55 tan plastik skrap yang dipercayai tidak mempunyai permit import.
“Besi skrap dianggarkan bernilai RM1,795,095 dengan duti dan cukai sebanyak RM118,955, manakala plastik skrap pula dianggarkan bernilai RM2,342,982 dengan duti serta cukai RM708,834.
“Modus operandi ialah membuat pengimportan tidak benar dalam Borang Kastam 1 dengan mengikrarkan dagangan antaranya sebagai acuan, ABA Flakes, bahan aluminium, PS Flakes dan tembaga bagi mengelak dikesan pihak kami,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Selangor Pelabuhan Utara, hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan dan kegiatan itu dipercayai membabitkan sindiket berasingan.
Katanya, kontena terbabit dipercayai berasal dari Timur Tengah.
Dalam kes berasingan, Noraidah berkata, pihaknya dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyita sebuah kontena mengandungi 1,578.43 liter minuman keras bernilai RM409,917 termasuk duti dan cukai.
Katanya, pemeriksaan di Zon Bebas Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 4 Mei lalu membawa kepada penemuan minuman keras pelbagai jenis yang dipercayai tidak mempunyai permit import sah.
“Minuman keras itu disembunyikan bersama alat ganti kenderaan terpakai dalam kontena yang tiba pada 27 April lalu dari sebuah negara di Asia.
“Minuman keras itu dianggarkan bernilai RM249,880, manakala jumlah duti dan cukai RM160,037,” katanya.
Menurutnya, modus operandi sindiket adalah membuat pengikraran tidak benar dalam Borang Kastam 1 dengan mengikrarkan dagangan sebagai alat ganti kenderaan terpakai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Kes ini masih dalam siasatan mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.





