Suami isteri mengaku salah cederakan bayi asuhan usia 3 bulan hingga maut

SEPASANG suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan mendedahkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan yang berada dalam jagaan mereka kepada kecederaan fizikal sehingga menyebabkan kematiannya, bulan lalu.

Mohd Iqbal Hassan, 36, dan Norsiayana Abd Samad, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi lelaki berusia tiga bulan 11 hari itu didakwa mendedahkan bayi berkenaan dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal sehingga menyebabkan kematian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Cendana 21, Taman Rinting, Masai, di sini kira-kira jam 1.03 petang pada 29 Julai lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2006 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shamira Mohd Luthfi Ismail, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM7,000 setiap seorang.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya kedua-dua tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 17 September depan sebagai tarikh sebutan bagi pembentangan fakta kes dan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh, lapor Sinar Harian.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here