Kepercayaan antara Anwar-Zahid pada tahap terendah, DAP kekal dalam kerajaan – KJ

KEPERCAYAAN antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Zahid Hamidi, kini berada pada tahap terendah sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan pada 2022.

Bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata, keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan telah menyebabkan ‘keretakan besar’ antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

“PH akan kata ia pengkhianatan manakala BN pula akan kata, kami hanya bersetuju untuk bekerjasama dengan kamu di peringkat persekutuan. Ini tidak bermakna kami terikat dengan kamu selama-lamanya.

“Jadi, macam mana pun anda melihatnya, memang berlaku keretakan besar,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap terbaharu.

Khairy berkata persoalan yang timbul kini ialah berapa lama BN akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan.

Beliau juga melihat bila PRU akan diadakan ‘sangat bergantung’ pada BN.

“Saya rasa kalau dihitung bilangan Ahli Parlimen, mungkin boleh bertahan jika semua daripada Ahli Parlimen BN tarik sokongan… memang telur hujung tanduk lah. Dengan adanya pemberontak daripada PKR dan beberapa Ahli Parlimen Bebas daripada Sabah yang minat untuk sertai BN, anda mula melihat jumlahnya semakin berkurangan.

“Mungkin kad kini benar-benar berada di tangan Zahid,” katanya.

Khairy merujuk kepada peletakan jawatan Wong Chen sebagai Ahli Parlimen Subang dan keputusan Wong Chen meninggalkan PKR untuk menyertai Bersama, yang dipimpin bekas pemimpin PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Sementara itu, Khairy berkata DAP mungkin memilih untuk kekal dalam kerajaan apabila 4,000 perwakilan parti itu mengundi sama akan DAP akan meninggalkan kerajaan persekutuan sebelum tamat tempoh Parlimen, pada Ahad.

Khairy percaya perwakilan akan mahu DAP kekal di Putrajaya supaya dapat menunjukkan kemajuan dalam tempoh setahun terakhir kerajaan ketika ini, selain memastikan kestabilan kerajaan pimpinan Anwar.

Khairy juga mendakwa ada pemimpin DAP yang “suka menjadi menteri”.

“Dahulu memang nampak seolah-olah mereka tidak kisah tentang jawatan menteri, tetapi ada pemimpin DAP yang memang suka menjadi menteri. Sudah tiga tahun menjadi menteri, tetapi masih tidak mahu melepaskan segala keistimewaan dan manfaat yang datang dengan jawatan menteri,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here