KADAR pertumbuhan angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara dicatat melonjak sebanyak 6 peratus pada suku kedua 2026 mengatasi jangkaan pasaran dimungkinkan oleh ikhtiar Kerajaan MADANI.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ikhtiar yang dilakukan telah memastikan kehidupan rakyat terbanyak tidak terjejas teruk oleh tempias inflasi dunia rentetan krisis di Asia Barat.
‘’Selain bantuan seperti BUDI MADANI, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA), banyak yang telah diusahakan Kerajaan MADANI di sebalik tabir untuk mengawal harga serta memastikan bekalan terus mencukupi,’’ katanya melalui Facebook beliau.

Hari ini Ketua Perangkawan Malaysia, Siti Asiah Ahmad berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 6.0 peratus pada suku kedua, lebih tinggi daripada anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ini susulan sektor perkhidmatan, khususnya subsektor kenderaan bermotor serta kewangan dan insurans, yang mempengaruhi angka sebenar KDNK suku tersebut.
Anwar seterusnya berkata, masih banyak yang perlu dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI untuk memastikan bukan sahaja momentum pertumbuhan ini kekal lestari, tetapi kekayaan dan kemajuan negara dapat dikecapi bersama oleh seluruh rakyat melalui pendapatan yang lebih bermakna, peluang pekerjaan yang bermutu serta bantuan kepada golongan rentan.
‘’Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan kekal pada landasan reformasi untuk mengangkat darjat rakyat dan mengukuhkan asas ekonomi tanah air yang tercinta,’’ katanya.





