Remaja lelaki berkemungkinan kehilangan pendengaran akibat dibuli

SEORANG remaja lelaki tingkatan tiga berkemungkinan mengalami kehilangan pendengaran di telinga kanan selepas mendakwa cedera parah akibat dibuli dan dipukul di sebuah sekolah menengah di Shah Alam, Selasa lalu.

Ibu mangsa, Nurhaswaty Zamani, 43, mendakwa, anaknya, Adryz Adrian kini terpaksa menerima rawatan di Hospital Shah Alam selepas mengalami kecederaan pada bahagian kepala, telinga, leher dan badan susulan kejadian terbabit.

Wanita itu mendakwa, anaknya sebelum ini pernah berdepan ejekan daripada kumpulan pelajar sama, namun keadaan menjadi lebih serius apabila dia didakwa diserang secara fizikal.

“Anak saya ditumbuk dari belakang dengan kuat di telinga kanan. Dia jatuh dan selepas itu telinga sebelah kanan dia mengalami kurang pendengaran serta sakit di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nurhaswaty mendakwa, berdasarkan pemeriksaan kesihatan, terdapat kemungkinan anaknya mengalami kehilangan pendengaran tahap sederhana pada telinga kanan dan masih memerlukan pemeriksaan susulan serta pemantauan doktor pakar.

Katanya, anaknya turut mengalami bengkak pada bahagian belakang leher selain sakit pada badan dan kepala sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi ketika anaknya bersama beberapa rakan dalam perjalanan ke kelas sebelum suspek yang dikenal pasti sebagai ‘Amin’ didakwa datang bersama sekumpulan kira-kira 10 individu dan menyerang mangsa dari belakang.

“Anak saya masa itu bersama kawan-kawannya dan ada empat saksi yang sudah dipanggil polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Nurhaswaty berkata, sebelum kejadian itu, anaknya turut didakwa pernah dicekik, dibanting ke lantai simen dan ditendang di kepala oleh suspek yang sama.

Katanya, bagaimanapun anaknya memilih untuk mengelak daripada melawan kerana mengingati nasihatnya supaya mempertahankan diri hanya apabila perlu.

Dalam pada itu, Nurhaswaty berkata, suspek ditahan polis dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, katanya, permohonan pihak polis untuk menyambung tempoh reman suspek ditolak mahkamah hari ini selepas keluarga suspek melantik peguam untuk mencabar permohonan berkenaan.

“Anak saya dipukul dua hari berturut-turut. Sekarang sudah masuk hari kedua anak saya menerima rawatan di Hospital Shah Alam dan masih di bawah pemantauan doktor pakar.

“Saya rasa tiada keadilan untuk anak saya apabila tahanan reman tidak disambung dan suspek hanya dikenakan jaminan polis sementara menunggu pertuduhan,” dakwanya.

Keputusan berkenaan turut menimbulkan persoalan mengenai keadilan buat mangsa buli dan bagaimana masa depan mereka selepas mengalami kecederaan serta trauma akibat perbuatan terbabit.

Beliau berkata, pihak keluarga suspek juga belum menghubungi atau menziarahi mangsa sejak kejadian berlaku.

Nurhaswaty turut meluahkan kekecewaan terhadap pihak sekolah yang didakwa tidak mengambil inisiatif bertanya mengenai keadaan anaknya walaupun mangsa sedang menerima rawatan di hospital.

Katanya, pihak sekolah hanya memaklumkan mereka menunggu siasatan polis dan tidak dapat memberikan sebarang komen berhubung tindakan terhadap pelajar terbabit.

“Saya cuma nak tahu apa tindakan sekolah terhadap pelajar ini. Anak saya sudah cedera dan dimasukkan ke hospital, bukan perkara kecil,” katanya.

Menurutnya, beliau sudah membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, kelmarin selain mempunyai laporan dan dokumen kesihatan berkaitan kecederaan anaknya sebagai bukti kejadian.

Katanya, beliau tampil kepada media kerana bimbang kejadian sama berlaku kepada pelajar lain sekiranya isu buli tidak ditangani dengan lebih tegas.

“Hari ini berlaku kepada anak saya, saya takut suatu hari berlaku kepada anak polis atau anak guru besar… esok lusa saya tidak tahu anak siapa pula menjadi mangsa. Hari ini anak saya berdepan masalah pendengaran, jangan sampai anak orang lain pula kehilangan nyawa, mata atau pendengaran,” katanya.

Nurhaswaty berharap pihak berkuasa, Kementerian Pendidikan dan ibu bapa memberi perhatian serius terhadap isu buli di sekolah, termasuk mengambil langkah lebih berkesan bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.

Beliau turut menegaskan budaya gangsterisme di sekolah perlu dihentikan kerana perbuatan membuli dan menggunakan kekerasan terhadap pelajar lain tidak sepatutnya dianggap perkara biasa.

“Seumpama sekolah bukan lagi tempat selamat untuk anak-anak kita belajar pada ketika ini.

“Saya mahu isu ini diperluaskan supaya pihak kementerian dan ibu bapa buka mata. Jangan tunggu sampai ada nyawa yang hilang,” katanya.

Nurhaswaty berkata, anaknya merupakan anak tunggal dan aktif dalam sukan termasuk Muay Thai dan go-kart, selain mempunyai beberapa pencapaian dalam bidang berkenaan.

Beliau bimbang ibu bapa mangsa tetap menjadi mangsa, manakala ibu bapa si suspek kekal dengan bangga dengan prestasi anak mereka menjadi pembuli sekolah.

Sikap ibu bapa yang tidak bertanggungjawab sehingga menjadi kes polis adalah sudah menjadi kebiasaan kerana hari ini semuanya melibatkan kes berat sebelah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here