WALAUPUN berbeza wadah politik, ia sama sekali tidak menjejaskan hubungan Dr.Muhammad Solehin Saleh dengan adiknya yang juga Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Akmar Saleh.
Dr.Muhammad Solehin yang dipilih sebagai Calon Bersama untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berkata, hubungan mereka sangat baik.

“Mak ayah saya pun adik-adik untuk beri sokongan. Walaupun memang orang kata, banyak dekat luar-luar media kata-kata saya bergaduh. Tak, kami tak bergaduh, kami sangat baik. Dia adik yang baik, saya pun abang yang baik.
“Semua ok, saya berharap isu-isu yang melibatkan adik-beradik itu tak jadi masalah,” katanya lapor Malaysiakini.
Malam tadi, Dr.Muhammad Solehin diumumkan antara 15 calon Bersama akan bertanding di PRK Melaka bagi mewakili Bersama.
Beliau akan bertanding di kerusi DUN Bemban yang kini disandang oleh Dr.Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bersatu) dengan majoriti 328 undi manakala adiknya Dr.Akmal merupakan ADUN Merlimau.
DUN Bemban dan Merlimau berada dalam satu kawasan Parlimen Jasin yang Ahli Parlimennya ialah Zulkifli Ismail daripada Pas. Beliau yang mewakili Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 322 undi.
Dr.Muhammad Solehin yang merupakan bekas ahli AMANAH dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Jasin bagi zon Bemban berkata, beliau dan Akmal telah lama membantu masyarakat menerusi kegiatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Sebenarnya saya bergerak politik lebih kurang sama dengan dia (Akmal), tapi saya bukannya dalam parti yang sama. Sebelum ini saya di parti Amanah dan saya telah meletakkan jawatan.
“Jadi kalau di tempat saya pun, di Merlimau, di Bemban, kami sama-sama membantulah, kami banyak kerja-kerja NGO.
“Malah sebelum berpolitik pun kami buat kerja NGO. Jadi tak ada masalah siapa bayangi siapa, kami nak berkhidmat. Mana yang terbaik, rakyat boleh menilai dan memilih,” katanya lagi.





