DAP hari ini menyokong penuh cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang diperjuangkan parti itu bersama rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) sejak puluhan tahun lalu.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke bagaimanapun berkata, perjuangan itu tidak hanya sepatutnya membabitkan AUKU, namun semangat sama perlu ditunjukkan dalam beberapa reformasi lain yang dijanjikan kepada rakyat Malaysia.
Beliau berkata, selain AUKU, DAP juga mahu reformasi diperjuangkan dalam memberikan peluang pendidikan tinggi yang sama untuk rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum.
“DAP memberi sokongan 100 peratus selepas mendengar Perdana Menteri hendak memansuhkan AUKU kerana saya juga belajar di universiti tempatan dan saya mangsa AUKU ketika itu serta berada dalam keadaan ketakutan di kampus.
“Namun kita memohon mencadangkan kepada Perdana Menteri, bukan setakat AUKU tapi untuk beberapa reformasi lain yang kita janjikan kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Persidangan Parti DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.
Anthony berkata, pemansuhan AUKU telah diperjuangkan parti itu sejak sekian lama bagi memastikan kebebasan mahasiswa lebih terjamin.
Beliau mengakui pernah menjadi mangsa AUKU ketika menjadi mahasiswa di sebuah universiti tempatan malah menyifatkan akta berkenaan mewujudkan kebimbangan bersuara dalam kalangan mahasiswa.
“DAP akan terus memberikan sokongan terhadap semua dasar positif berkenaan, namun menegaskan pelaksanaannya perlu disusuli dengan keputusan tegas oleh Jemaah Menteri bagi merealisasikan pemansuhan AUKU,” ujarnya.





