DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau memilih meneruskan kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan demi memastikan kestabilan serta kemakmuran rakyat.
Perdana Menteri berkata, pendirian itu dibuat berdasarkan kepentingan rakyat dan negara, bukannya didorong oleh kesalahan atau kemarahan mana-mana pihak.
“Saya pilih kestabilan, kemakmuran rakyat. Saya pilih kerjasama terus BN dan UMNO.
“Pilihan mereka biarlah mereka jawab,” katanya ketika berucap pada penggulungan Kongres Nasional PKR 2026 di Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Pendirian Presiden PKR itu menyusul ketika kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) menerusi Kerajaan Perpaduan diuji beberapa keputusan politik dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) kebelakangan ini.
Pada PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu, BN bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) untuk menentang PH di 36 kerusi.
Beberapa pemimpin BN dan PN turut tidak menolak kemungkinan kerjasama itu akan diperluaskan ke PRN Melaka serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sebarang keputusan berkaitan masa depan kerjasama politik dengan BN dan UMNO perlu dibuat secara waras, penuh hikmah serta kebijaksanaan.
Katanya, Kerajaan Perpaduan tidak akan terbentuk tanpa kesedaran mengenai kepentingan kestabilan politik serta kecintaan terhadap negara.
Anwar turut menyentuh hubungannya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkannya sebagai sangat baik dan membolehkan sebarang perbezaan dibincangkan secara sahabat.
“Setakat ini beliau belum pernah berdepan dengan satu pandangan yang benar-benar bertentangan di peringkat Kerajaan Persekutuan. Di peringkat negeri Allah sahaja mengetahui,” katanya.





