Kes mayat ahli perniagaan dalam jaring: Empat suspek didakwa esok

EMPAT suspek lelaki yang kini direman akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat esok atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan pada bulan lalu.

Kesemua suspek berusia antara 26 hingga 40 tahun itu bakal berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, arahan pertuduhan dibuat selepas kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.

Beliau berkata, kertas siasatan sebelum ini sudah lengkap dan diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.

“Selepas diteliti oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor, arahan pendakwaan dikeluarkan atas empat suspek,” katanya ketika dihubungi, lapor BH.

Polis sebelum ini menahan lima suspek susulan penemuan mayat lelaki berusia 39 tahun yang ditemukan terapung dan dililit jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja dekat Batu Pahat awal bulan ini.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh dengan dijerut leher menggunakan tali sebelum dibawa menaiki kenderaan, diikat kedua-dua tangan menggunakan pita pelekat dan jasadnya dibalut dengan jaring.

Lima ketul batu turut ditemukan pada mayat yang dipercayai digunakan untuk menenggelamkan mangsa.

Mangsa dilaporkan hilang oleh isterinya sejak 29 Julai lalu, manakala keluarganya hanya menemukan kenderaan mangsa di Johor Bahru.

Semakan rekod jenayah lampau mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here