PROGRAM bantuan kepada rakyat menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kekal sebagai keutamaan kerajaan dalam penyediaan Belanjawan 2027 meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan melalui belanjawan itu akan terus memberi ruang peruntukan bagi program bantuan tunai bersasar berkenaan tahun depan demi meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.
“Usaha ini berkesan untuk menolong mereka yang mungkin kemampuannya tidak cukup bagi mendepani kos sara hidup, jadi inilah antara keutamaan yang kita ada.
“Dari segi bagaimana kerajaan mengawal perbelanjaan adalah satu perkara penting menerusi pelaksanaan subsidi bersasar bagi meningkatkan ruang program yang lebih berkesan untuk rakyat dan usahawan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan program SARA di sebuah pasar raya di Tawau hari ini.
Menurut Amir Hamzah, program SARA terbukti berkesan memandangkan peruntukan keseluruhan bagi SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada tahun ini mencecah RM15 bilion.
“Hampir sembilan juta penerima SARA dengan 99 peratus memanfaatkannya, sekali gus membuktikan program ini benar-benar sampai kepada golongan sasar di peringkat akar umbi,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan pertumbuhan yang kukuh biarpun berdepan ketidaktentuan situasi geopolitik dan ekonomi global.
Katanya, ketahanan ekonomi negara didorong penerimaan baik terhadap produk eksport tempatan serta kestabilan enjin ekonomi domestik menerusi perbelanjaan pengguna dan kemasukan pelaburan yang kekal berdaya saing.
“Keadaan ini menyokong pertumbuhan ekonomi dengan kadar pengangguran kekal rendah di bawah tiga peratus, selain kadar inflasi terkawal pada 1.9 peratus menerusi inisiatif pelan tindakan yang berkesan,” katanya.
Amir Hamzah berkata, pelaksanaan Kerangka Ekonomi MADANI terbukti berjaya memangkinkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara berterusan.
“Pada tahun lalu, pertumbuhan KDNK negara merekodkan 5.2 peratus, manakala bagi suku pertama 2026 kita mencatatkan 5.4 peratus dan meningkat kepada 6.0 peratus pada suku kedua, menjadikan purata pertumbuhan setakat ini 5.7 peratus,” katanya.





