PAS tidak perlu membentangkan belanjawan alternatif atau pelan pentadbiran lengkap untuk membuktikan kesediaannya mengambil alih Selangor.
Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu mempunyai pengalaman mentadbir beberapa negeri selain kepakaran dalaman untuk membentuk dasar jika diberi mandat rakyat.
Katanya, perincian dasar dan belanjawan hanya akan dibentangkan selepas Pas diberi kepercayaan mentadbir Selangor.
“Tiada keperluan membentang belanjawan alternatif kerana rakyat bukan ingin melihat rangka yang indah tetapi gagal dilaksanakan. Rakyat meyakini soal integriti dan kemampuan mentadbir bila diberi amanah,” katanya lapor FMT.
Beliau mengulas cabaran Timbalan Ketua Pemuda PKR Selangor, Mohammad Shahrul Adnan, supaya Pas mengemukakan tawaran dasar dan belanjawan alternatif jika benar-benar serius mahu mengambil alih negeri itu.
Tuan Ibrahim berkata, Pas mempunyai pengalaman yang boleh dijadikan asas untuk mentadbir Selangor, termasuk ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri bawah pentadbiran bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Katanya, pengalaman mentadbir negeri di bawah gabungan SG4 (Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu) juga boleh dimanfaatkan jika Pas diberi peluang memimpin Selangor.
“Pas parti yang dah lama dan mempunyai seluruh pengalaman mentadbir beberapa negeri dan mempunyai pelbagai kepakaran dalaman parti.
“PKR tak perlu risau tentang Pas, tetapi kini rakyat melihat kegagalan mereka mentadbir. Tak perlu minta Pas sedia belanjawan, kerana semua akan dibentang bila mandat diberi oleh rakyat,” katanya.
Tuan Ibrahim turut menyifatkan cabaran PKR itu sebagai tanda kehabisan idea.
“Mungkin mereka kehabisan idea, maka cara paling mudah ciplak idea orang lain,” katanya.





