KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) dijangka akan mengumumkan jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 hari ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pembentangan akan dilakukan Lembaga Peperiksaan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini dan sekiranya tiada isu berbangkit jadual berkenaan boleh terus dikeluarkan.
Beliau berkata, beberapa penambahbaikan dibuat terhadap jadual berkenaan selepas pihaknya mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk berkaitan susunan kertas peperiksaan yang mempunyai jumlah calon lebih kecil.
“Kami ambil semua pandangan dan lakukan penambahbaikan terhadap jadual peperiksaan tersebut melalui perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat.
“Saya sudah pengerusikan mesyuarat itu bersama pengarah-pengarah negeri dan jadual juga mengambil kira tempoh Monsun Timur Laut, jerebu dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas penyerahan bas sekolah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat di Kota Bharu hari ini, lapor Sinar Harian.
Sebelum ini, tular dalam media sosial berhubung keluhan ibu bapa calon SPM yang tertanya-tanya berhubung tarikh peperiksaan penting berkenaan.
Mohd Azam dalam pada itu berkata, selain faktor keadaan cuaca, tempoh cuti sekolah juga diambil kira bagi memastikan pelaksanaan peperiksaan tidak menimbulkan implikasi kepada sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri.
“Sebab itu kami buat menambahbaikan dengan teliti,” katanya.
Mohd Azam berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Pendidikan dan memberikan gambaran awal mengenai cadangan perubahan jadual berkenaan..
“Kalau tidak ada apa-apa isu, kalau boleh tanda tangan dan kita akan keluarkan petang ini juga,” katanya.





