SEORANG pengawal keselamatan direman tujuh hari bermula hari ini kerana disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki di sebuah perpustakaan awam di Yong Peng, bulan lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 31 tahun itu dikeluarkan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.
Berdasarkan laporan yang dibuat mangsa bersama bapanya di Balai Polis Yong Peng petang semalam, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika mangsa yang juga murid Tahun Empat pergi bersendirian ke perpustakaan selepas tamat sesi persekolahan.
Bertindak atas laporan itu, polis menahan suspek ketika sedang bertugas di sebuah sekolah berhampiran Parit Yaani kira-kira jam 8.50 malam tadi, lapor BH.
Ketika kejadian, suspek yang sudah bertunang dan bakal melangsungkan perkahwinan tahun depan dipercayai berada di perpustakaan berkenaan.
Suspek sebelum ini dikatakan kerap ke perpustakaan itu kerana tunangnya bekerja di situ, namun pada hari kejadian hanya suspek dan mangsa berada di bangunan berkenaan.
Suspek dipercayai mengumpan mangsa menggunakan telefon bimbit sebelum mengajaknya memasuki sebuah bilik dan melakukan perbuatan seksual terhadap mangsa.
Kejadian itu terbongkar selepas mangsa menceritakannya kepada guru sebelum pihak sekolah memaklumkan perkara berkenaan kepada bapa mangsa.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan siasatan berhubung kejadian berkenaan.





