SPRM Perlis kemuka 16 syor penambaikan tata kelola

KEDUDUKAN Perlis sebagai negeri sempadan menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri itu barisan penting dalam membendung rasuah dan penyeludupan rentas sempadan yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, SPRM Perlis perlu menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan bagi memantau dan mengesan sebarang kegiatan rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa yang boleh menjejaskan keselamatan pintu masuk negara.

DATUK Seri Abd Halim Aman bergambar bersama pegawai dan kakitangan SPRM Perlis di Kangar hari ini. GAMBAR: SPRM

Beliau berkata, kedudukan Perlis yang bersempadan dengan negara jiran menjadikan negeri itu berdepan cabaran strategik, khususnya risiko rasuah dan aktiviti penyeludupan rentas sempadan.

“Keadaan itu menuntut warga SPRM Perlis supaya sentiasa proaktif, tangkas dan berwaspada dalam melaksanakan tanggungjawab tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak.

“Tidak ada kompromi terhadap sesiapa, tanpa memilih individu atau fahaman politik. Kita perlu terbuka dengan apa yang berlaku di luar sana dan melaksanakan tugas berdasarkan integriti serta hukum,” katanya ketika berucap sempena lawatan ke SPRM Perlis di Kangar hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani; Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff; Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Perlis, Hairul Hafiz Bohari dan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Perlis, Mohamad Razif Ab Rased.

Mengulas lanjut, Abd Halim menegaskan tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan secara adil dan saksama.

Katanya, setiap siasatan juga mesti dijalankan secara profesional tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Dalam perkembangan sama, Abd Halim berkata, kejayaan SPRM tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah tangkapan atau tindakan yang diambil semata-mata, sebaliknya sejauh mana tindakan itu memberi kesan kepada masyarakat dan negara.

Menurutnya, warga SPRM Perlis perlu sentiasa mengutamakan integriti, keadilan dalam penguatkuasaan, usaha pencegahan, penggunaan teknologi serta ketelusan bagi memastikan kepercayaan rakyat terus terpelihara.

Untuk rekod, lawatan kerja itu turut memberi peluang kepada pengurusan tertinggi SPRM menyelami situasi dan cabaran warga SPRM Perlis di lapangan, selain mendapatkan gambaran bagi menyusun strategi serta keperluan organisasi dengan lebih berkesan.

Lawatan tersebut turut diadakan bersempena sesi menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Sementara itu, Mohd Nor Adha berkata, lawatan berkenaan menunjukkan penghargaan terhadap usaha warga SPRM Perlis, selain memberi ruang kepada pegawai menyampaikan pandangan dan cadangan mereka.

Katanya, SPRM Perlis terus menjalankan tugas penguatkuasaan, manakala 16 syor penambahbaikan jabatan sudah dikemukakan bagi memperkukuh aspek tata kelola setakat 31 Julai lalu.

“Ini memperlihatkan fokus SPRM Perlis bukan sahaja kepada penguatkuasaan, tetapi turut menutup ruang dan kelemahan sistem yang boleh membuka peluang kepada rasuah,” katanya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here