SERAMAI 640 pegawai dan anggota akan ditugaskan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar bermula Oktober depan.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, jumlah itu termasuk 400 pelatih yang kini menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat dan dijangka tamat latihan pada akhir September.
“Secara keseluruhan, terdapat 640 perjawatan di sini dengan 400 yang baharu (sedang latihan).
“Nanti kita isi (perjawatan) secara berperingkat kerana ada latihan,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada Lawatan Kerja ke ICQ Bukit Chagar, Johor Bahru, hari ini, lapor Buletin TV3.
Dalam lawatan itu, Anthony Loke turut menyempurnakan pra-perasmian Pejabat AKPS di ICQ Bukit Chagar.
Mohd Shuhaily berkata, Pejabat AKPS di ICQ Bukit Chagar merupakan yang pertama menggabungkan enam agensi penguatkuasaan AKPS di bawah satu bumbung.
“Sebahagian pegawai sudah melaporkan diri untuk mengetahui pengenalan secara tidak langsung mengenai bangunan, kemudahan dan sebagainya.
“Pengoperasian AKPS ini dalam erti kata untuk kita mengenali sistem, bangunan dan aliran penumpang.
“Kita akan cuba buat beberapa simulasi dalam masa tiga bulan ini dan melihat bagaimana kita boleh tampung dengan sistem kita,” katanya.





