AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tunangnya, Bella Astillah mengumumkan bakal melangsungkan pernikahan di aras 118, Menara Merdeka Maybank di ibu negara pada 10 Oktober depan.
Pasangan itu yang mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu, turut mengumumkan hari bahagia mereka mengangkat konsep serba putih yang disulami elemen Arab atau Islamik atas permintaan keluarga.
Berkongsi berita gembira itu dalam siaran langsung program hiburan MeleTOP malam ini, klip video khas yang memaparkan Syed Saddiq, 34, dan Bella, 32, mengenakan busana tradisional serba putih, turut ditayangkan.
Klip video itu memperlihatkan Syed Saddiq dan Bella berjalan sambil berbalas kata-kata romantis sebelum tarikh pernikahan mereka didedahkan pada penghujung video, sekali gus mencetuskan keterujaan dalam kalangan penonton.
Syed Saddiq berkata, keputusan untuk memilih tarikh 10 Oktober dibuat selepas mengambil kira pelbagai persiapan, selain menghargai doa serta nasihat yang diterima daripada orang ramai sejak mereka mengumumkan pertunangan.
“Saya terhutang budi kepada semua yang tidak putus mendoakan dan sampaikan nasihat. Saya memang baca dan ambil secara serius.
“Kalau boleh memang hendak kahwin lebih awal. Tetapi ini yang paling awal kami boleh buat persediaan. Oktober ialah bulan yang akan kami memulakan hidup baharu,” katanya dalam program dihoskan Nabil Ahmad dan Namie itu.
Lebih istimewa, Syed Saddiq dan Bella merancang menganjurkan majlis persandingan dalam bulan sama, selain bakal mengadakan beberapa majlis lain di Kuala Lumpur, Muar dan Sabah.
Syed Saddiq turut meluahkan penghargaan kepada pihak pengurusan Menara Merdeka Maybank kerana memberikan keizinan untuk mereka melangsungkan majlis pernikahan di lokasi berkenaan.
“Saya turut ucapkan terima kasih kepada Menara Merdeka Maybank kerana bagi (keizinan) bernikah di sana. Istimewanya, ini bakal menjadi yang pertama majlis pernikahan diadakan di tingkat 118,” katanya.
Turut hadir dalam program itu ialah ibu bapa Syed Saddiq dan Bella.
Pengumuman Syed Saddiq dan Bella berhubung tarikh hari bahagia mereka cukup dinanti-nantikan peminat sejak pasangan yang mula berkenalan dengan lebih rapat tahun lalu itu, bertunang pada akhir Mac lalu.
Pada 25 Julai lalu, Syed Saddiq dan Bella yang diberi singkatan ‘BASS’ oleh peminat, menarik perhatian ramai selepas memuat naik foto berkonsep busana perkahwinan yang turut disifatkan netizen sebagai rakaman praperkahwinan mereka.
Sejak itu, ramai yang mula meneka tarikh pernikahan mereka terutama selepas Syed Saddiq dan Bella berkunjung ke pejabat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, bulan lalu. Ia menguatkan lagi spekulasi perkahwinan mereka akan berlangsung dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Syed Saddiq mengesahkan tarikh pernikahan dengan Bella sudah dipersetujui keluarga, namun belum sedia mengumumkannya.
Syed Saddiq dan Bella dilapor mula berkenalan dengan lebih rapat pada 2025 sebelum mengikat tali pertunangan.
Sebelum ini, Bella mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pelakon dari Singapura, Aliff Aziz pada 2016. Pasangan itu bercerai buat kali pertama pada 2019 sebelum kembali rujuk dalam tempoh edah.
Bagaimanapun, mereka bercerai kali kedua pada 13 Jun 2024. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6.





