SEBANYAK 1,247 peserta sedang menjalani latihan intensif selama empat bulan menerusi program `1 NADI, 1 Prompt Engineer’ bagi melahirkan bakat kecerdasan buatan (AI) peringkat komuniti di seluruh negara.
Ketua Pejabat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Dr Mohd Arif Adenan berkata, program percuma itu menawarkan latihan praktikal serta pensijilan AI dengan kerjasama syarikat teknologi gergasi iaitu Google serta Universiti Multimedia (MMU) dan MIMOS Academy.
“Kita berharap mereka berjaya menamatkan latihan ini dan menjadi jurutera arahan (prompt engineer) AI yang boleh bertindak sebagai pakar rujuk kepada komuniti masing-masing,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di Cyberjaya semalam.
Beliau berkata, program itu turut memperkasakan peserta untuk membina kerjaya secara bebas (freelance) tanpa perlu berhijrah ke bandar, selaras dengan trend pasaran kerja masa kini yang semakin cenderung mendapatkan khidmat bakat berdasarkan projek atau tugasan.
“Sebagai contoh, seorang jurutera arahan AI di Pulau Banggi, Sabah boleh menjana pendapatan dan melaksanakan tugasan untuk syarikat terus dari sana kerana mempunyai capaian Internet berkelajuan tinggi menerusi NADI,” katanya.
Mohd Arif berkata, biarpun sasaran utama ialah golongan berusia 40 tahun ke bawah, MCMC tetap menerima peserta lebih berusia yang menunjukkan minat tinggi terhadap teknologi sebagai kriteria pemilihan utama.
Selain itu, MCMC juga sedang mempersiapkan pelancaran Akademi NADI pada Oktober ini yang bakal menghimpunkan semua kursus di bawah satu ekosistem bagi memudahkan pemantauan dan pembangunan profil peserta.
Akademi berkenaan akan menggunakan sistem berasaskan AI untuk membangunkan profil individu berdasarkan kursus disertai, selain mengenal pasti kecenderungan mereka dalam bidang keusahawanan, akademik, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau teknologi maklumat.
“Menerusi Akademi NADI, kita boleh mengenal pasti minat mereka dan memberikan panduan mengenai langkah seterusnya, sama ada mengikuti pengajian dalam bidang pentadbiran perniagaan, sains komputer atau bidang lain yang bersesuaian.
“Kita mahu Akademi NADI menjadi platform kepada mereka yang tidak dapat meninggalkan komuniti untuk terus membangunkan diri, kekal di tempat masing-masing dan menyumbang kepada ekonomi setempat,” katanya.
Mohd Arif berkata, sistem pemprofilan itu juga boleh membantu menghubungkan usahawan dengan agensi berkaitan, selain membimbing golongan muda memilih laluan pendidikan dan kerjaya yang bersesuaian.
Menyentuh tentang keberkesanan latihan kemahiran, beliau berkata, inisiatif NADI Mahir telah melatih kira-kira 27,000 peserta sejak tahun lepas menerusi pelbagai bidang termasuk fotografi, jahitan, masakan, pembaikan gajet dan pertanian pintar.
Bagi peserta yang berhasrat memulakan perniagaan, katanya, NADI akan menghubungkan mereka dengan agensi pembiayaan seperti TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk bantuan modal.
Mohd Arif memberitahu, satu daripada kejayaan membanggakan ialah penglibatan 120 alumni Mahir Jahit yang berjaya menghasilkan dan menjual kira-kira 3,000 helai pakaian seragam sekolah kepada komuniti setempat, tahun lepas.
Mohd Arif berkata, keluarga turut diberi pilihan membuat bayaran secara berperingkat sebelum mengambil pakaian itu menjelang sesi persekolahan, tanpa melibatkan pinjaman, faedah atau caj tambahan.
“Kita bukan menggalakkan komuniti berhutang, sebaliknya mahu mendidik mereka merancang kewangan dan mula membuat simpanan lebih awal, bukannya menunggu sehingga hujung tahun (apabila sesi persekolahan tahun berikutnya bermula),” katanya.
Keberkesanan program tersebut jelas menyuntik sinar baharu buat pesertanya, termasuk Nurul Syuhada Rashidi, seorang ibu tunggal dari NADI Kanchong Darat, Banting, Selangor.
Bagi Nurul Syuhada, peluang menerima tempahan menjahit pakaian seragam secara konsisten menjadi talian hayat yang membantunya membina semula kehidupan selepas kehilangan punca rezeki sebelum ini.
“Pendapatan saya kini mencecah RM900 sebulan dan mampu membantu saya menanggung kehidupan diri sendiri serta anak kecil. Program ini bukan sekadar memberikan peluang pekerjaan, tetapi membuka jalan untuk saya bangkit semula dan berdikari,” katanya.
Kisah kejayaan sama turut dikongsi Nurul Aini Hayati Rashidi, 23, juga dari NADI Kanchong Darat yang kini menjana RM1,400 sebulan dengan hanya bekerja dari rumah.
Sementara itu, Rosnaniza Hasnan dari NADI Peramu Jaya, Pekan, Pahang, memperoleh RM450 sebulan bagi membantu perbelanjaan anaknya di universiti.
Nurul Huda Awang dari NADI Peramu Jaya 3 pula berkata, pendapatan antara RM200 hingga RM400 sebulan menerusi projek itu membantu menampung perbelanjaan harian keluarganya, selain membolehkannya menjahit sendiri pakaian seragam anak-anak bagi mengurangkan kos persediaan awal persekolahan.





