Polis Kedah tingkatkan rondaan susulan ketukan misteri

POLIS Kedah meningkatkan rondaan dan pemantauan di beberapa kawasan di daerah Kota Setar susulan kejadian ketukan misteri yang didakwa berlaku sejak Ahad lalu sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya setakat ini masih belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, polis tidak memandang ringan perkara itu dan akan terus mempertingkatkan rondaan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman penduduk di kawasan terbabit.

“Setakat ini apa yang saya tahu, enam taman perumahan dan kampung di daerah Kota Setar dilaporkan berlaku kejadian ketukan misteri itu.

“Kalau ada di daerah lain berkaitan kes sama, kita akan pantau juga untuk mengurangkan kebimbangan orang ramai berkaitan kejadian ini.

“Saya sudah dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan sudah dapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung ketukan misteri yang berlaku itu dan didapati tiada pergerakan yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini, lapor Buletin TV3.

Adzli berkata, pihaknya bagaimanapun masih belum dapat memastikan punca sebenar kejadian ketukan misteri berkenaan.

Menurutnya, situasi itu mengingatkan kepada insiden di Baling tahun lalu yang membabitkan kebakaran dan api misteri secara berselang-seli sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk.

“Masa itu macam-macam versi kita dapat dan penduduk jadi takut.

“Kita hantar anggota kita buat rondaan lebih kerap di kawasan yang terjejas, rupanya ada elemen lain dan tangkapan sudah dilakukan terhadap seorang lelaki,” katanya.

Sementara itu, dakwaan terbaharu mengenai kejadian ketukan misteri berkenaan turut tular di media sosial, dengan dakwaan ia sudah berpindah ke Mergong serta daerah Kubang Pasu dan Kuala Muda.

Antara kawasan yang sebelum ini didakwa terjejas ialah Taman Amira, Taman Awana, Taman Satria, Taman Vistana, Taman Lelasari, Pekan Langgar dan Teluk Jamat.

Kebanyakan netizen meluahkan kebimbangan sekiranya kejadian sama berlaku di kawasan kediaman mereka.

Media sebelum ini melaporkan bunyi ketukan kuat yang dialami penduduk di beberapa taman perumahan sekitar Jalan Langgar hingga Pekan Langgar, di sini, sejak Ahad lalu mencetuskan tanda tanya dan kebimbangan orang ramai.

Ketukan misteri itu dikatakan berlaku selama dua hari berturut-turut dan turut dirasai pada malam berikutnya di beberapa kawasan lain.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here