DUA pelajar lelaki berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini atas pertuduhan menghantar komen jelik berunsur penghinaan terhadap seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) di aplikasi TikTok.
Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua pelajar terbabit didakwa menggunakan perkataan menghina melalui komen jelik terhadap mangsa berusia 17 tahun di aplikasi TikTok.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Parit Lapis Sri Ladang, Rengit kira-kira jam 8.30 malam pada 25 Julai lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim, manakala kedua-dua tertuduh diwakili Normaahani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM1,000 setiap seorang dan menetapkan 14 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi laporan akhlak, fakta dan perintah.
Berdasarkan laporan, mangsa menyedari komen jelik berkenaan selepas melihat komen yang dihantar kedua-dua tertuduh pada video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya.
Siasatan mendapati komen itu dihantar menggunakan akaun TikTok milik kedua-dua tertuduh.
Kedua-dua tertuduh mengaku menghantar komen berkenaan dengan tujuan membuli secara dalam talian atau sengaja mencela mangsa sehingga menyebabkan gangguan emosi selepas mengetahui kecacatan remaja itu pada ibu jari tangan kiri.
Siasatan turut mendapati perbuatan berkenaan adalah kesinambungan daripada tindakan kedua-dua tertuduh yang sebelum ini sering mengejek mangsa di sekolah.





