SEBUAH syarikat penyelesaian telekomunikasi menjadi entiti pertama di Malaysia yang didakwa di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya hari ini, di bawah Seksyen 126 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyediakan perkhidmatan rangkaian tanpa lesen sah.
Aircom Telecommunication Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya Foo Loke Hin, 57, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan ke atas syarikat itu dibacakan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan pertama, Aircom Telecommunication didakwa memiliki kemudahan rangkaian tanpa suatu lesen Individu Pemberi Kemudahan Rangkaian [NFP I] yang sah mengikut Seksyen 126(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Bagi pertuduhan kedua, syarikat itu didakwa memberikan perkhidmatan rangkaian tanpa suatu lesen Individu Pemberi Perkhidmatan Rangkaian [NSP I] yang sah mengikut Seksyen 126(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kedua-dua seksyen itu boleh dihukum di bawah Seksyen 126(2) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara boleh sampai 10 tahun atau kedua-duanya, serta boleh didenda selanjutnya RM100,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan, lapor Bernama.
Aircom Telecommunication juga didakwa memiliki sistem yang direka bentuk untuk memperoleh secara fraud perkhidmatan rangkaian jenis jalur lebar, iaitu Unlimited Home Fibre Aircom Fibre mengikut Seksyen 232(2) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Seri Kembangan, dekat sini, pada 16 Okt 2025.
Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab memaklumkan kepada mahkamah jaminan tidak diperlukan memandangkan pertuduhan dikenakan terhadap syarikat dan peguam Muhammad Khairul Bakhri Batiar serta Nor Amyra Zamani yang mewakili Aircom Telecommunication mengesahkan perkara itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 5 Okt depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Foo dan isterinya Thong Wei Mei, 54, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berhubung kesalahan sama pada tempat dan masa serupa.
Pasangan suami isteri itu didakwa memiliki kemudahan dan memberikan perkhidmatan rangkaian tanpa lesen NFP I dan NSP I yang sah, mengikut Seksyen 126(1)(a) dan 126(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 126(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman serupa.
Mereka turut didakwa atas satu lagi pertuduhan memiliki sistem yang direka bentuk untuk memperoleh secara fraud perkhidmatan rangkaian jenis jalur lebar iaitu Unlimited Home Fibre Aircom Fibre mengikut Seksyen 232(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara yang boleh sampai 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Fadhli menawarkan jaminan RM50,000 untuk setiap tertuduh bagi ketiga-tiga pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
“Pendakwaan juga memohon agar kes di mahkamah ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah 4 (Hakim Syahliza) untuk dibicarakan bersama, memandangkan siasatan, saksi dan eksibit adalah sama,” kata Fadhli.
Khairul Bakhri memohon jaminan rendah kira-kira RM15,000 terhadap kedua-dua tertuduh atas alasan mereka menanggung dua anak dan seorang daripadanya masih belajar di universiti.
“Mereka telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dan pada hari ini mereka tiba dari Ipoh, Perak untuk menghadapi pertuduhan. Mohon mahkamah mempertimbangkan faktor ini,” katanya.
Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor membenarkan jaminan RM60,000 terhadap kedua-dua tertuduh untuk kesemua pertuduhan, berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan selain menetapkan 5 Okt ini untuk sebutan semula kes.





