Bekas CEO Tabung Haji direman tujuh hari

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dapatan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

Perintah reman sehingga 27 Ogos depan itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan SPRM.

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji ketika tiba pagi ini untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Putrajaya. GAMBAR: Nurul Shafina Jemenon

Terdahulu, bekas CEO berkenaan tiba di mahkamah pada jam 9.38 pagi ini dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam.

Beliau dilihat tenang dan memakai baju berwarna oren tertera tulisan ‘Lokap SPRM’ serta bergari ketika dibawa masuk ke kamar mahkamah, lapor Buletin TV3.

Bekas CEO itu dibawa keluar dari pekarangan mahkamah pada jam 11.37 pagi ini selepas selesai urusan permohonan reman.

Permohonan reman itu dipercayai berkaitan siasatan SPRM terhadap dapatan RCI yang meliputi pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan RCI berkenaan didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.

Susulan pendedahan laporan itu, SPRM menubuhkan pasukan siasatan khas bagi meneliti dapatan RCI, termasuk kemungkinan wujud unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Sebelum ini, SPRM turut menahan tujuh individu bagi membantu siasatan berkaitan laporan RCI tersebut, termasuk empat bekas pengurusan kanan TH.

SPRM sebelum ini memaklumkan telah membuka 14 kertas siasatan, selain memeriksa dan menggeledah 28 premis serta merakam keterangan 115 saksi berhubung siasatan itu.

Untuk rekod, antara individu yang disebut dalam laporan setebal 211 halaman itu ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, serta bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Tan Sri Md Nor Md Yusof.

Turut disebut ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here