SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah mengemukakan syor penambahbaikan tata kelola kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) berhubung proses penswastaan projek di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan itu.
Syor yang dikemukakan kepada MBDK turut menekankan keperluan supaya proses berkaitan penswastaan projek dilaksanakan secara lebih jelas, telus dan teratur, selain mempunyai mekanisme semak dan imbang yang bersesuaian.
Syor berkenaan dikemukakan oleh Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli menerusi sesi khidmat nasihat di Bilik Datuk Bandar MBDK di Klang semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Datuk Bandar MBDK, Mohd Zary Affendi Mohd Arif dan Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Selangor, Azuan Adzhar.
Sementara itu, Datuk Bandar MBDK, Datuk Abd Hamid Hussain menyambut baik syor berkenaan dalam usaha mengurangkan ruang berlakunya kelemahan tadbir urus serta risiko rasuah.
Dalam sesi itu, beliau menandatangani Laporan Penambahbaikan Tata Kelola yang disaksikan oleh Mohd Azwan.





