Buaya tembaga 500kg masuk perangkap Perhilitan

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan akhirnya berjaya menangkap seekor buaya tembaga raksasa dianggarkan seberat hampir 500 kilogram yang selama ini sering membimbangkan penduduk di sekitar Tanjung Agas, Port Dickson.

Reptilia gergasi itu sebelum ini kerap dilihat berkeliaran oleh penduduk di sepanjang sungai di Tanjung Agas, Linggi.

Buaya itu berjaya ditangkap selepas termasuk dalam perangkap khas dipasang Perhilitan Negeri Sembilan awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, perangkap berkenaan diaktifkan pasukan Unit Kawalan Hidupan Liar dan Manusia (UKHM) Perhilitan Negeri Sembilan kira-kira 7.30 malam tadi.

Beliau berkata, anggota petugas malam tadi mendapati pintu perangkap berkenaan sudah tertutup. Bagaimanapun, hasil pemeriksaan di lokasi mendapati kemungkinan ia akibat gangguan kera terhadap umpan dipasang.

Menurutnya, pasukan Perhilitan kemudian mengaktifkan semula perangkap berkenaan dan menjalankan pemantauan rapi sehingga tengah malam.

Katanya, kira-kira jam 1.30 pagi tadi, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan pintu perangkap itu sekali lagi sudah tertutup.

“Pemeriksaan dilakukan pasukan Perhilitan mendapati seekor buaya tembaga besar berjaya ditangkap di dalam perangkap berkenaan.

“Susulan itu buaya berkenaan menjalani proses translokasi dan dihantar ke Pusat Intervensi Hidupan Liar (PIW) untuk tindakan selanjutnya,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, operasi berkenaan dijalankan susulan aduan orang awam berhubung kehadiran reptilia terbabit di kawasan Tanjung Agas.

Perhilitan turut menasihatkan orang awam supaya tidak menghampiri atau cuba menangkap buaya sekiranya terserempak dengan reptilia berkenaan dan segera melaporkan penemuan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here