DATUK Seri Anwar Ibrahim menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sempena Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam Ke-27 (ALC-27), hari ini.
Perdana Menteri berkata, pertemuan empat mata di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan itu memberi ruang kepada beliau dan Sultan Brunei bertukar pandangan secara terbuka dan mesra.

“Terkait pelbagai perkara yang menjadi kepentingan bersama, berteraskan hubungan akrab, kepercayaan dan persahabatan istimewa yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam,” katanya menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar dikurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Dihormati (DK) oleh Sultan Hassanal Bolkiah.
Penganugerahan itu membawa gelaran Dato Laila Utama dan lazimnya dikurniakan kepada kerabat terdekat, ketua negara, ketua kerajaan atau pembesar luar negara.
Pengurniaan darjah berkenaan turut menjadi tanda penghormatan terhadap hubungan dua hala serta jasa bakti besar penerima kepada Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
“Penganugerahan ini amat bermakna dan menjadi lambang keakraban serta persaudaraan istimewa antara Malaysia dengan Negara Brunei Darussalam,” ujar Anwar.





