INDUSTRI perkayuan negara perlu beralih daripada pengeluaran bahan mentah kepada penghasilan produk bernilai tinggi, berasaskan reka bentuk, teknologi, inovasi dan jenama Malaysia yang mampu bersaing di pasaran global.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, masa depan industri itu tidak boleh lagi bergantung kepada jumlah pengeluaran semata-mata, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada peningkatan nilai produk dan amalan kelestarian.

Menurut beliau, kerajaan menerusi agensi di bawah kementeriannya termasuk Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) akan terus membantu industri meningkatkan produktiviti, membangunkan modal insan, memperluas pasaran serta memperkukuh amalan kelestarian.
“Kita mahu lebih banyak syarikat tempatan berkembang daripada pengeluar kepada pencipta produk dan pemilik jenama.
“Nilai kayu tidak hanya terletak pada bahan mentahnya. Nilainya bertambah melalui kemahiran tangan, idea, reka bentuk dan cerita yang dibawa bersama produk tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Merdekapenter 2026 di The Green Factory, Kampung Baru Ampang hari ini.

Noraini berkata, industri perkayuan merupakan antara sektor penting dalam ekosistem agrikomoditi negara dengan produk kayu Malaysia telah menembusi pasaran utama termasuk Amerika Syarikat, Jepun, China, Eropah, Timur Tengah, Australia dan negara-negara Asia.
Dalam pada itu, beliau berkata, pensijilan kayu semakin penting bagi membina keyakinan pengguna dan pembeli yang mahu mengetahui asal-usul bahan serta memastikan produk diperoleh dan dihasilkan secara bertanggungjawab.
Katanya, Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) menyediakan penilaian bebas terhadap pengurusan hutan dan rantaian bekalan produk kayu, selain diiktiraf Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC) sejak 2009.
“MTCS juga merupakan skim pensijilan kayu tropika pertama di rantau Asia Pasifik yang menerima pengiktirafan tersebut,” katanya.
Menurut beliau, hampir 5.9 juta hektar hutan negara, bersamaan lebih 32 peratus daripada keseluruhan kawasan hutan Malaysia, telah disijilkan di bawah MTCS.
Pada peringkat rantaian bekalan pula, sebanyak 365 syarikat di seluruh negara memegang pensijilan Rantaian Jagaan MTCS/PEFC.
Berdasarkan data terkini MTCC setakat 15 Mei 2026, sebanyak 5.92 juta hektar hutan negara telah disijilkan di bawah MTCS/PEFC, manakala 363 syarikat memegang pensijilan Rantaian Jagaan.
Noraini berkata, The Green Factory merupakan antara contoh perusahaan tempatan yang menerapkan prinsip berkenaan apabila One-Tech (M) Sdn Bhd memegang pensijilan Rantaian Jagaan MTCS/PEFC sejak 2018.
Malah, katanya, syarikat berkenaan menjadi pengeluar pertama barangan rumah bersijil PEFC di Malaysia menerusi jenama DAPO, selain menggunakan kayu kitar semula bersijil PEFC.
Beliau berkata, pendekatan itu membuktikan prinsip kelestarian bukan hanya terhenti pada sumber hutan, malah boleh diteruskan melalui penggunaan semula bahan dan pengurangan sisa.
Mengulas penganjuran Merdekapenter, Noraini berkata, program berkenaan mempunyai kekuatan tersendiri kerana membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali dunia pertukangan kayu serta memahami amalan kelestarian secara lebih dekat.
Katanya, bengkel pada tahun ini antaranya menghasilkan karya seni atas kayu, kotak alat tulis, kadi dan bangku menggunakan kayu meranti bersijil PEFC serta kayu meranti merah dan kayu pain kitar semula yang turut bersijil PEFC.
Beliau turut menyambut baik usaha MTCC menyediakan sudut informasi dan permainan interaktif bagi memperkenalkan konsep pengurusan hutan secara mampan, khususnya kepada golongan muda.
“Pendedahan seperti ini penting. Ia membuka mata generasi muda bahawa industri perkayuan bukan sekadar pekerjaan tradisional, tetapi sebuah industri yang terus berkembang dengan teknologi, kreativiti dan kemahiran baharu,” katanya.
Merdekapenter 2026 merupakan edisi kelima program berkenaan sejak diperkenalkan pada 2022, dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sebagai rakan strategik utama tahun ini dan MTCC meneruskan kerjasama sebagai penaja untuk tahun kedua.
Noraini turut meminta MTIB, MTC dan MTCC meneliti ruang kerjasama yang bersesuaian bagi membantu The Green Factory memperkukuh keupayaan, memperluas pasaran serta membawa jenama Malaysia ke peringkat lebih jauh.
Beliau berkata, kelestarian tidak seharusnya kekal sebagai slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam setiap tindakan termasuk cara bahan diperoleh, produk direka, sisa diurus dan pilihan yang dibuat pengguna.
Program Merdekapenter 2026 turut diteruskan sebagai platform mendekatkan masyarakat dengan industri perkayuan dan dijangka membantu melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam bidang pertukangan, selain meningkatkan kefahaman mengenai pengurusan hutan mampan serta penggunaan kayu secara bertanggungjawab.





