Jerebu di Sarawak: Sultan Pahang titah solat hajat di semua masjid

SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya solat hajat diadakan di semua masjid di seluruh negeri Pahang bagi memohon ke hadrat Allah SWT agar keadaan jerebu yang melanda Sarawak ketika ini bertambah baik dan pulih.

Kesultanan Pahang memaklumkan baginda bertitah, doa dan ikhtiar yang dilakukan perlu seiring dalam menghadapi keadaan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan rakyat.

GAMBAR: Facebook Kesultanan Pahang

“Baginda turut menasihati masyarakat di Sarawak supaya mematuhi segala arahan dan nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa negeri, khususnya berkaitan keselamatan dan kesihatan sepanjang keadaan jerebu berkenaan serta mengambil langkah sewajarnya,” menurut hantaran di Facebook Kesultanan Pahang hari ini.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serian, Sarawak turun kepada 190 setakat jam 9 pagi tadi berbanding 227 petang semalam.

Penurunan itu menyaksikan kualiti udara di kawasan berkenaan beralih daripada tahap sangat tidak sihat kepada tidak sihat.

Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), 10 kawasan lain turut merekodkan tahap tidak sihat, iaitu Kuching (182), Samarahan (177), Sarikei dan Sri Aman (173), Sibu (161), Bintulu (157), Samalaju dan Mukah (156) serta Miri dan Bukit Rambai, Melaka masing-masing 151.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here