Pendaki wanita hilang di Taman Negara Lambir sejak semalam ditemukan selamat

SEORANG pendaki wanita yang dilaporkan hilang ketika mendaki Taman Negara Lambir di Miri sejak petang semalam, ditemukan selamat pagi ini.

Veronique Anak Joseph, 31, ditemukan kira-kira jam 11.17 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menerima maklumat lokasi wanita itu menerusi aplikasi WhatsApp, lapor BH.

Pendaki itu dilaporkan hilang selepas mendaki bersama lima rakannya sebelum terpisah ketika dalam perjalanan turun dari Bukit Taman Negara Lambir, petang semalam.

Kumpulan berkenaan dikatakan memulakan pendakian kira-kira jam 9 pagi dan tiba di puncak sekitar tengah hari sebelum mula bergerak turun kira-kira jam 1 petang.

Bagaimanapun, kira-kira jam 2 petang, Veronique yang berada di hadapan kumpulan dipercayai bergerak lebih laju sehingga terpisah daripada lima rakannya.

Kehilangannya disedari sebaik semua pendaki lain tiba di checkpoint permulaan sekitar jam 4.30 petang, sebelum ia dimaklumkan kepada Pasukan Renjer Taman Negara Lambir.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dengan bantuan beberapa renjer termasuk daripada Wildlife Guardian Ranger digerakkan untuk operasi SAR, namun ia tidak dapat dilakukan berikutan keadaan gelap selain lokasi sebenar wanita itu belum diketahui.

Usaha mencari diteruskan pagi ini sebelum pasukan SAR menemukan Veronique dalam keadaan selamat pagi ini.

Veronique yang cedera ringan dipercayai akibat tergelincir dibawa keluar dari kawasan hutan sebelum dihantar ke hospital berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here