SEORANG lelaki dan dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika mandi di kawasan air terjun berhampiran Pondok Munazil Sidiqqin, Batu 5, di Dungun sejak malam tadi ditemukan selamat awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Yahaya Hanafi berkata, ketiga-tiga mangsa, Izham Haziq Mohd Ridhuan, 23; Muhammad Harraz Naufal Zamri, 10; dan Ahmad Al Baihaqi Ahmad Nazri, 10, ditemukan orang awam pada jam 2.20 pagi.

Beliau berkata, pihak bomba menerima laporan kejadian pada jam 10.47 malam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan membabitkan 40 anggota bomba, polis serta penduduk kampung.
“Kesemua mangsa bersama seorang lagi rakan dikatakan masuk ke kawasan air terjun terbabit untuk mandi.
“Seorang daripada rakan mereka dipercayai pulang lebih awal dan meninggalkan kawasan kejadian,” katanya.
Yahaya berkata, sebelum itu ketiga-tiga mangsa memaklumkan kepada rakan mereka bahawa mereka mahu mendaki bukit mengikut laluan anak sungai untuk mandi di bahagian atas air terjun.
Bagaimanapun, katanya, ketiga-tiga mangsa tidak pulang sehingga waktu malam menyebabkan keluarga membuat laporan polis.
“Berikutan itu, pasukan penyelamat bersama penduduk kampung menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi terakhir mangsa dilaporkan berada,” katanya.
Beliau berkata, hasil perbincangan bersama pihak polis, operasi pencarian ditangguhkan pada jam 1 pagi atas faktor keselamatan.
“Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa akhirnya ditemui dalam keadaan selamat oleh penduduk kampung.
“Operasi mencari dan menyelamat ditutup sepenuhnya kira-kira jam 3 pagi ini,” katanya.






