SEORANG pesara polis yang dilaporkan hilang ketika pergi ke kebunnya di Kampung Ulu Seladang dekat Bandar Permaisuri sejak Isnin lalu, ditemukan selamat hasil operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan pasukan penyelamat.
Nik Mohd Ilmuraradin Nik Ismail, 70, ditemukan pada jam 10.45 pagi ini, kira-kira 600 meter dari lokasi motosikalnya yang ditinggalkan di kawasan kebun berkenaan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, polis menerima maklumat semalam mengenai penemuan sebuah motosikal yang ditinggalkan di kawasan kebun di Kampung Ulu Seladang, sebelum semakan mengesahkan motosikal itu milik mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang.
“Mangsa dilaporkan keluar dari kediamannya di Kampung Undang, Bukit Payung, Kuala Terengganu pada Isnin lalu (27 Julai) untuk ke kebunnya di Kampung Ulu Seladang, Setiu sebelum gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi SAR dimulakan pagi tadi dengan taklimat operasi yang dipengerusikan Timbalan Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Ahmad Badrul Hisyam Ghazali.
Zahril Asri berkata, sebaik ditemukan, mangsa telah diberikan rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, sebanyak 46 anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung terlibat dalam operasi SAR itu.






