SEORANG lelaki maut dipercayai terkena renjatan ketika melakukan kerja pemasangan tiang elektrik dalam kejadian di Bandar Tabin Jaya, Sandakan malam ini.
Setakat ini, identiti penuh mangsa belum diperolehi namun mangsa yang berusia 30 tahun dikatakan adalah pekerja kontraktor elektrik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, JImmy Lagung berkata, bilik kawalan operasi menerima panggilan bagi mendapatkan bantuan menurunkan mangsa pada jam 7.53 malam.
Katanya, tujuh anggota dihantar ke lokasi itu untuk menjalankan operasi dan sebaik tiba, mangsa didapati masih berada di atas tiang elektrik.
“Pasukan bomba menjalankan operasi dengan membantu menurunkan mangsa menggunakan peralatan khas selepas bekalan elektrik diputuskan oleh pihak Sabah Electricity.
“Pegawai perubatan yang berada di lokasi kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya, lapor Harian Metro.
Jimmy berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.40 malam.





