KERAJAAN Selangor mahu langkah lebih agresif diambil bagi menangani penyalahgunaan media sosial termasuk kewujudan akaun palsu dan kandungan daripada pihak luar yang boleh mengganggu keselamatan serta keharmonian masyarakat.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, perkembangan teknologi perlu dimanfaatkan untuk mengenal pasti kandungan yang boleh mengancam keselamatan dan kestabilan negara tanpa menafikan hak rakyat untuk bersuara.
Katanya, suara rakyat tetap perlu didengari, namun platform media sosial perlu mempunyai mekanisme lebih baik bagi memastikan pandangan yang disampaikan benar-benar datang daripada pengguna tempatan.

“Saya rasa mungkin di pihak kementerian harus melakukan yang lebih agresif. Bukan kita nak sebut tutup terus sebab kita tak dengar suara rakyat.
“Suara rakyat harus didengari, tetapi harus ada platform yang lebih jujur di mana kita tahu komen itu sebenarnya adalah rakyat Malaysia ataupun rakyat Negeri Selangor,” katanya ketika ditemui pada Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Petaling Jaya 2026 di Dewan Serbaguna MBPJ PJS6/1, Kampung Lindungan, hari ini.
Menurutnya, penggunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab boleh memberi kesan buruk terutama kepada golongan muda, termasuk mendorong kepada buli siber dan tekanan terhadap masyarakat.
Beliau berkata, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) boleh dimanfaatkan untuk membantu mengesan kandungan mencurigakan dengan lebih pantas tanpa perlu menunggu aduan.
“Kita boleh cari kata kunci dan scan daripada Internet dan sebagainya, dan kita tutup awal kalau kita tahu datang daripada fake account ataupun daripada akaun-akaun dari luar negara,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Fahmi berkata, Kempen Internet Selamat penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko digital termasuk penipuan dalam talian, buli siber, penyalahgunaan maklumat peribadi dan penyebaran maklumat palsu.
Katanya, berdasarkan statistik sehingga Jun 2026, sebanyak 35,073 kes penipuan dalam talian dilaporkan dengan jumlah kerugian mencecah RM951.7 juta, manakala penipuan pelaburan sahaja melibatkan kerugian RM413.8 juta.
Beliau berkata, kempen berkenaan yang dilancarkan pada Januari 2025 telah menjangkau 10,320 sekolah dan institusi pengajian tinggi, selain 3,813 program dilaksanakan di seluruh negara sehingga 31 Julai lalu dengan jangkauan lebih 1.67 juta audiens.
Mohammad Fahmi turut mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan prinsip ‘Semak Sebelum Klik, Fikir Sebelum Kongsi’ bagi memastikan penggunaan Internet lebih selamat dan bertanggungjawab.





