Polis buka siasatan akaun TikTok palsu guna AI hina Agong

POLIS membuka kertas siasatan berhubung penyebaran kandungan berunsur fitnah dan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerusi sebuah akaun TikTok palsu yang dipercayai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan dijalankan selepas kandungan berkenaan dikesan Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor atau Royal Press Office.

Menurutnya, siasatan kini dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), JSJ Bukit Aman.

“Kita telah membuka kertas siasatan dan sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini.

“Pada masa ini, siasatan dijalankan di bawah Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan seseorang dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, siasatan juga turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menyalahgunakan perkhidmatan atau kemudahan rangkaian.

“Polis memandang serius penyebaran kandungan menyentuh isu 3R membabitkan agama, kaum dan institusi diraja yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Pihak JSJ tidak akan sekali-kali berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam bagi memastikan keamanan serta kesejahteraan sentiasa terpelihara,” katanya.

Semalam, Royal Press Office menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memaklumkan tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang menghasilkan akaun TikTok palsu menggunakan nama ‘Sultan Ibrahim Ismail’.

Menurut kenyataan itu, akaun terbabit dipercayai menggunakan teknologi AI bagi menyebarkan kandungan menghina Seri Paduka Baginda.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img