10 PATI lolos Depot Imigresen Tanah Merah, Ops Tutup dilancar

POLIS Kelantan melancarkan Ops Tutup di seluruh negeri termasuk kawasan sempadan bagi mengesan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Tanah Merah, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kesemua PATI terbabit terdiri daripada tujuh warga Thailand serta masing-masing seorang warga Indonesia, Bangladesh dan etnik Rohingya.

Menurutnya, kesemua mereka dipercayai memakai pakaian tahanan berwarna hijau terang dan berkepala botak ketika melarikan diri.

“Laporannya diterima kira-kira jam 3 pagi dan kesemua PATI terbabit kini sedang diburu.

“Kita telah buat hebahan termasuk Ops Tutup dan mempertingkatkan kawalan di kesemua pos kawalan sempadan terutama di Rantau Panjang,” katanya pada sidang media Pelupusan Barang Kes Melibatkan Dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, maklumat mengenai kejadian berkenaan sudah disampaikan kepada semua pos kawalan sempadan sejak awal pagi.

Katanya, polis turut bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengesan kesemua PATI terbabit dan mengelak mereka daripada meloloskan diri ke negara jiran.

Sebelum itu, tular di media sosial pemakluman dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah berhubung kejadian 10 PATI meloloskan diri dari Depot Imigresen Tanah Merah.

Berdasarkan maklumat berkenaan, lokasi terakhir kesemua mereka dikesan adalah di kawasan Bukit Tebu.

Mohd Yusoff turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan mana-mana individu yang dipercayai terbabit.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis dengan segera dan tidak mengambil tindakan sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, mereka yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di talian 09-9556222 atau 09-9556223.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here