POLIS Kemaman menahan seorang lelaki berusia 39 tahun bagi membantu siasatan berhubung hantaran media sosial berunsur hasutan dan penghinaan terhadap institusi raja, kerajaan Malaysia serta agensi kerajaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, suspek ditahan di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor, pada Rabu lalu.
Menurutnya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan dua kad SIM yang dipercayai digunakan suspek dalam kes berkenaan.
“Barang kes akan dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk analisis forensik digital,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Razi berkata, lelaki berkenaan kini direman sehingga 26 Ogos ini bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata, kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
“Manakala hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ialah denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti kandungan hantaran serta tujuan ia dimuat naik dan disebarkan.





