SEORANG pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang pekerja kedai nombor ramalan dengan membakar mangsa menggunakan petrol sehingga menyebabkan kecederaan serius, awal bulan ini.
Tertuduh, Ang Kam Tong, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
“Tak salah,” katanya ketika pertuduhan dibacakan di dalam kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba membunuh Gan Siew Teen, 62, dengan cara membakar mangsa menggunakan petrol sehingga mengakibatkan kecederaan serius.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai nombor ramalan di Taman Pusat Kepong, kira-kira jam 7.51 pagi, 9 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd Shariff, bagaimanapun tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dengan alasan mangsa mengalami kecederaan serius akibat melecur tahap tiga.
Beliau turut memaklumkan terdapat laporan bahawa tertuduh cuba melarikan diri ketika ditangkap.
Bagaimanapun, peguam Lee Keng Fatt yang mewakili tertuduh memohon supaya anak guamnya diberikan jaminan.
“Tertuduh adalah seorang pemandu e-hailing, tiada pendapatan tetap, belum berumah tangga dan mempunyai adik-beradik yang mungkin boleh menjamin tertuduh,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
Kes disebut semula pada 25 September depan bagi penyerahan dokumen.





