Lelaki Bangladesh direman empat hari, disyaki cabul wanita dalam LRT

SEORANG lelaki warga Bangladesh direman empat hari bagi membantu siasatan selepas disyaki mencabul seorang wanita ketika berada di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen LRT Setiawangsa, 19 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi ketika mangsa sedang menaiki tren dari Stesen Wangsa Maju menuju ke Stesen Pasar Seni.

Menurutnya, mangsa mendakwa menyedari kehadiran seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai melakukan perbuatan cabul terhadapnya.

“Suspek mencabul pengadu dengan cara menggeselkan kemaluannya ke bahagian belakang badan pengadu ketika berada di dalam tren,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Anuar berkata, suspek berjaya ditahan Polis Bantuan Prasarana di Stesen LRT Pasar Seni pada kira-kira jam 11.30 pagi, 21 Ogos lalu.

“Suspek kemudiannya diserahkan kepada anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek telah dibenarkan selama empat hari bermula 22 hingga 25 Ogos ini bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here