SEORANG banduan maut dipercayai akibat dibelasah tiga banduan lain, angkara hutang lama dan perasaan tidak puas hati di Penjara Marang semalam.
Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.31 tengah hari semalam daripada seorang wadar penjara yang memaklumkan seorang banduan lelaki berusia 38 tahun didakwa dipukul banduan lain.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd Sofian Redzuan berkata, mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Merchang untuk menerima rawatan.
Katanya, bagaimanapun, sebaik sahaja tiba di klinik kesihatan itu, pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian ialah akibat limpa koyak kerana hentakan objek tumpul seperti tumbukan atau tendangan,” katanya.
Susulan itu, Mohd Sofian berkata, polis menahan tiga banduan berusia antara 21 hingga 35 tahun yang dipercayai terlibat menyerang serta memukul mangsa.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada hutang lama dan perasaan tidak puas hati suspek terhadap mangsa.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebelum ketiga-tiga suspek dihadapkan ke muka pengadilan.





